TAN SRI ASEH CHE MAT TERAJUI PERBADANAN PUTRAJAYA

PEN: 07/2012/03 (KWPKB)

 

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar telah mengeluarkan kenyataan media seperti berikut:- 

KENYATAAN MEDIA

oleh

YB MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KESEJAHTERAAN BANDAR 

TAN SRI ASEH CHE MAT TERAJUI PERBADANAN PUTRAJAYA

PUTRAJAYA, 9 Julai 2012 – Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, YBhg Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Aseh Haji Che Mat, 61 tahun dilantik sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) yang baharu berkuatkuasa 1 Ogos 2012. Beliau menggantikan YBhg Tan Sri Samsudin Osman yang tamat tempoh kontraknya pada 31 Julai 2012.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, YB Dato’ Raja Nong Chik Dato’ Raja Zainal Abidin berkata Tan Sri Samsudin telah menyandang jawatan sebagai Presiden PPj yang kedua selama 8 tahun sejak 1 Ogos 2004. Manakala penggantinya, Tan Sri Aseh cukup berpengalaman luas dalam hal ehwal keselamatan serta penyampaian perkhidmatan kerajaan, sepanjang beliau berkhidmat dalam kerajaan terutama di Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri.

Jelas Dato'' Raja Nong Chik, perlantikan Tan Sri Aseh untuk menerajui Putrajaya diharap dapat meneruskan kecemerlangan yang telah dibawa oleh Tan Sri Samsudin sehingga menjadikan Putrajaya, bukan sahaja sebagai sebuah Pusat Pentadbiran

Kerajaan Persekutuan ketika ini, malah telah dikenali di mata dunia menerusi pelbagai penganjuran acara berprestij dan bertaraf dunia.

Dato'' Raja Nong Chik turut merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Samsudin yang telah membawa Putrajaya ke landasan yang tepat serta mewujudkan pelbagai ikon tersendiri untuk bandar pintar dan hijau ini, sekaligus dikenali bukan sahaja dalam negara malah di persada antarabangsa.

LATAR BELAKANG YBHG TAN DATO’ SERI DR ASEH HAJI CHE MAT:

Y.Bhg Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Aseh Haji Che Mat berasal dari Negeri Sembilan dan merupakan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri. Beliau berpengalaman luas dalam hal ehwal keselamatan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan khususnya sewaktu menyandang jawatan Ketua Pengarah Imigresen dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

Dari segi akademik, beliau lulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) daripada Universiti Malaya pada tahun 1974. Kemudian menyambung pengajian peringkat Sarjana di University of Southern California, Amerika Syarikat dengan memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam pada tahun 1984. Tan Sri Aseh kemudiannya dianugerahkan Ijazah Kedoktoran PhD (Honarary) daripada Lim Kok Wing University Of Creative Technology pada tahun 2007, iaitu pada tahun terakhir beliau dalam perkhidmatan awam.

Kerjaya beliau dalam perkkhidmatan awam adalah seperti berikut;

 Penolong Setiausaha, Kementerian Kewangan -

(1974 - 1975)

 Penolong Setiausaha, Suruhanjaya Pelajaran, Kuala Lumpur

(1975 - 1977)

 Setiausaha, Sekretariat Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (Cawangan Sarawak)

(1977 – 1981)

 Setiausaha, Sekretariat Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (Cawangan Sabah)

(1981 – 1982)

 Ketua Penolong Setiausaha, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran

(1982 – 1984)

 Ketua Penolong Pengarah, (Tatatertib) Jabatan Perkhidmatan Awam

(1984)

 Ketua Penolong Setiausaha, Keselamatan dan Hal Ehwal Polis, Kementerian Dalam Negeri

(1984 – 1992)

 Setiausaha Bahagian, Bahagian Keselamatan dan Pencegahan, Kementerian Dalam Negeri

(1992 – 1993)

 Setiausaha Bahagian Pengurusan, Kementerian Dalam Negeri

(1993 – 1995)

 Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Imigresen Malaysia

(1995 – 1998)

 Ketua Pengarah, Jabatan Imigresen Malaysia

(1998 – 2001)

 Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri

(2001 – 2007)

Sepanjang perkhidmatan, beliau turut dianugerahi Pingat, Bintang dan Darjah Kebesaran seperti berikut:

 Ahli Mangku Negara (AMN)

 Kesatria Mangku Negara (KMN)

 Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) – Dato’ (Pahang)

 Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) – Dato’ (Pahang)

 Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) – Dato’ (Perak)

 Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) – Dato’ (Kelantan)

 Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) – Dato’ Sri (Pahang)

 Darjah Seri Paduka Tuanku Jaafar Yang Amat Terpuji (SPTJ) – Dato’ Seri (Negeri Sembilan)

 Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) – Datuk Seri Panglima (Sabah)

 Panglima Setia Mahkota (PSM) – Tan Sri